Saturday, August 21, 2010

itu bukan Salleh...



"engkau betol ni lim nak ke lubuk tu?"

"ah kalau dah nama penakut, tunggul kayu dikatanya hantu kau ni Leh." - lagak Halim berkata kepada rakan baiknya, Salleh.

"aku ikut lah, lagipun malam ini bukan malam jumaat. bulan tak terang sangat."- Salleh menyedapkan hati, tapi pada hakikatnya Salleh risau rakannya akan ke lubuk hijau itu seorang diri.

"bukan malam jumaat pun hantu boleh keluar tau, ala Leh kalau engkau takut, benda-benda ni lagi suka kat kau Leh." - Halim bisik perlahan kata-kata ke telinga Salleh yang membuatkan Salleh dalam dilema untuk mengikut ataupun mahu duduk di rumah sahaja menonton tv.

"aku ikut lah, tapi lepas kita dapat bawa naik dua tiga ekor toman, kita beransur balik laa lim. nak mancing banyak-banyak pun nak buat apa." - tegas Salleh yang daripada riak mukanya masih nampak lagi bait-bait kerisauan.

"keh keh keh, macam ni laa kawan dunia akhirat." - Halim menyegeh sambil menepuk-nepuk bahu si Salleh.

petang itu menjadi saksi dua pemuda kampung meterai janji untuk memancing bersama ke lubuk hijau yang sering menjadi igauan ngeri penduduk Kampung Paheng. memang sudah menjadi buah mulut orang kampung berkenaan dengan misteri lubuk hijau semenjak beberapa tahun yang lepas.

lubuk hijau memang terkenal dengan lubuk toman dan beberapa jenis ikan air tawar yang lain. banyak induk-induk betina membiak di situ. mungkin persekitaran lubuk hijau amat sesuai dengan habitat semulajadinya. banyak pokok teratai yang subur hidup meliar di permukaan lubuk tersebut. manakala di tepi tebingnya, lumut-lumut hijau tebal menyeliputi permukaan air. tiap-tiap pagi memang sudah menjadi lokasi permainan pepatung dan serangga-serangga lain terbang melayang di situ. bila tiba waktu petang pula, sang matahari akan memancar tepat ke arah permukaan air lantas memantulkan refleksi cahaya yang cukup indah dan cantik. panorama yang mungkin menggugat sesiapa sahaja yang melihatnya.

namun bila tibanya waktu malam, segala keindahan lubuk hijau bakal bertukar. bertukar menjadi suatu tempat yang ditakuti oleh orang untuk mendekatinya. kawasan persekitaran menjadi gelap gelita. cuma hanya beberapa malam sahaja lubuk hijau boleh nampak dalam samar-samar. itu pun jikalau bulan terang. suasana di situ menjadi senyap sunyi. siapa tahu, di sebalik keindahan panorama lubuk hijau tersimpan beberapa kisah misteri yang sampai sekarang masih belum terungkai.

si Hassan, seorang kaki pancing yang tinggal berdekatan dengan surau Kampung Paheng, pernah terkena penangan misteri lubuk hijau tatkala dia pergi mengail di situ. katanya pernah dapat toman seberat tiga kilogram, tetapi apabila hasilnya dibawa pulang ikan toman yang segar bugar bertukar menjadi bangkai yang berulat dan amat busuk.

minggu lepas, ada sebuah kumpulan ekpedisi dari Melaka singgah sebentar di lubuk hijau itu untuk berehat. setelah puas berjalan di dalam hutan pada hari sebelumnya. entah macam mana, pada hari itu ada anggota ekpedisi yang degil terjun ke lubuk tersebut. sampai sekarang jasadnya belum dijumpai. ceritanya sampai sekarang masih lagi hangat menjadi buah mulut orang kampung.

pernah juga geng-geng Kamil kampung sebelah pergi memancing ke lubuk hijau ini. mereka pergi dalam empat orang untuk memancing di sana. bila dalam perjalanan pulang apabila selesai memancing, Kamil kira semula gengnya di atas motor. pelik. jumlahnya ada empat orang dan tidak termasuk Kamil. sedangkan mereka hanya berempat sahaja. maka, bertempiaranlah mereka menunggang motorsikal tanpa arah tuju.

***

"dah laa tu Lim! empat ekor dah kita bawa naik ni. dah naik lewat malam dah. aku dah seram sejuk ni!" - pujuk Salleh agar Halim segera pulang ke rumah.

"Leh, ko tau? kita memancing ni bukan berdua je tau." - gurau Salleh.

"hish! satu je benda aku tak suka tentang ko ni Lim, suka sangat cakap besar!" - kesal Salleh kepada rakan baiknya Halim.

"hehehehehehe, dah la jom kita balik. aku dah nampak dah ada benda bertenggek atas pokok tu." - Halim bertambah cakap besar spontan memusing gear joran buat kali terakhir.

suasana Lubuk Hijau pada malam itu benar-benar gelap. tidak ada cahaya bulan dan bintang menemani Halim dan Salleh memancing. hanya lampu suluh di dahi masing-masing menjadi peneman mereka berdua. hasil mengail yang belum mampu membuat Halim merasa kepuasan. oleh kerana, sifat kasihan kepada si Salleh, Halim akur untuk mengikut segala permintaan rakan baiknya itu.

semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, Halim sahaja menunggang perlahan motornya supaya dapat menikmati angin malam dengan lebih puas di kampungnya sendiri. Kampung Paheng sunyi. hanya beberapa biji motor sahaja kelihatan daripada arah bertentangan mereka.

semasa dalam perjalanan, Halim ada terperasan motor rakannya Ijam yang baru pulang daripada kerja syif malam. Ijam ini seorang pengawal keselamatan kilang roti kampung seberang. jadi memang tiap-tiap malam Ijam akan melalui jalan utama Kampung Paheng ini untuk pulang ke rumah.

"Ijam..!!!!" - Halim menyapa Ijam daripada atas motor.

Ijam hanya mengangkat tangan kerana keletihan, tetapi sempat juga Ijam paling ke belakang sekejap setelah mereka berselisih berdua. tiba-tiba Ijam jadi tidak tentu arah menunggang motornya. bulu roma Ijam serta merta naik serentak dengan peluh yang keluar daripada umbun kepala. lututnya menggeletar bagai tiada tenaga. terkumat kamit mulut Ijam membaca ayat-ayat suci Quran sebagai penenang diri. kali ini Ijam nekad untuk mengejar kembali Halim. dipulasnya enjin paling maksimum.

"SubhanAllah!!"

"Halim!!!! belakang kau Lim!!!! itu bukan Salleh..!!!!


*tulisan ini gua bikin untuk masuk ujibakat sebenarnya. salah satu peraturan ujibakat ini tidak boleh lebih daripada 100 patah perkataan. lu orang tengok laa sendiri gua cukup ke tidak 100 patah? celakak! tak ikut peraturan langsung!

No comments:

Post a Comment